suria

Kebencian Terhadap BN Mula Terhakis Berikutan Krisis Dalaman PKR - Zahid Hamidi

BAGAN DATOH: Kebencian terhadap Barisan Nasional (BN) yang ditanam oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), terutama semasa pilihan raya umum lepas, kini mula terhakis berikutan pergolakan kepimpinan yang berlaku dalam parti itu sekarang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan keluar parti oleh anggota PKR dan menentang kepimpinan parti itu merupakan satu musibah akibat perbuatan mereka yang dahulunya membenci BN.

"Kebencian terhadap BN yang tersemai dalam diri anggota PKR telah dapat diatasi dengan kebenaran, yang dahulunya telah ditutup oleh kebencian melampau," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Bagan Datoh di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata ramai anggota PKR di peringkat akar umbi telah sedar bahawa BN adalah sebuah parti yang boleh menyumbang untuk kebajikan rakyat.

"PKR juga perlu sedar, jangan menjadi 'kuda tunggangan' kepada DAP yang hanya menguntungkan orang lain dan bukan kepada PKR itu sendiri," katanya.

Beliau berkata mereka yang telah meninggalkan PKR wajar menyokong BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempunyai Gagasan 1Malaysia yang boleh menguntungkan rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain