suria

Kapal Nelayan Asing Guna Nombor Pendaftaran Palsu Ceroboh Perairan Negara

SANDAKAN: Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia mengesan taktik nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mengecat rumah kemudi kapal mereka mengikut warna pendaftaran kapal nelayan tempatan ketika menceroboh masuk menangkap ikan di perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata kapal nelayan asing dari negara jiran menggunakan taktik itu bagi mengelirukan dan mengelak diperiksa oleh pihak berkuasa Malaysia.

Katanya APMM mengenal pasti taktik yang digunakan oleh kapal nelayan asing itu dalam beberapa operasi sebelum ini dan memantaunya melalui pemeriksaan terhadap mana-mana kapal nelayan yang menangkap ikan di kawasan laut dalam khususnya di kawasan perairan sempadan negara.

"Pembangunan perikanan laut dalam di negara ini mampu menjanjikan hasil tangkapan yang banyak dan ini menarik perhatian kapal asing dari negara jiran menceroboh perairan negara kita.

"Kami giat berusaha untuk mengekang aktiviti kapal nelayan asing supaya tidak terus menular kerana kegiatan mereka mampu menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan," katanya ketika berucap merasmikan Program Gerak Saraf Jiwa Murni di Kampung Air di sini, Sabtu.

Mohd Amdan berkata dalam penguatkuasaan yang dilakukan di perairan negeri ini, sebanyak 282 kes tangkapan dilakukan sejak awal tahun ini dengan 21 kapal nelayan asing ditahan kerana menceroboh masuk ke perairan negara.

Beliau berkata usaha penguatkuasaan di perairan negeri ini dipertingkatkan lagi dengan memperkemaskan jentera APMM di Labuan yang merangkumi kawasan rondaan di sempadan perairan negara Brunei ke Kuala Penyu, Kota Kinabalu (Kuala Penyu hingga Taringkai, Lahad Datu (Taringkai hingga ke Beluran), Sandakan (Beluran hingga Lahad Datu) dan Tawau (Lahad Datu hingga Pulau Sebatik termasuk sempadan perairan Indonesia). - BERNAMA

Artikel Lain