suria

Ikatan Erat Kekeluargaan Bantu Kanak-kanak Membesar Dengan Sempurna

KUALA LUMPUR: Ikatan kekeluargaan yang erat mampu membantu pembentukan serta perkembangan kanak-kanak dalam membina masa depan lebih baik untuk mereka, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata dorongan, motivasi dan perhatian penuh ibu bapa membantu kanak-kanak berkenaan menjadi lebih bermotivasi, berkeyakinan serta menggalakkan mereka menjadi individu yang positif.

Kejayaan seorang kanak-kanak bergantung kepada dorongan dan motivasi yang diberikan ibu bapa, katanya pada Pertandingan Bercerita Maybank yang menekankan konsep 1Malaysia di sini, yang dianjurkan sempena pesta dua hari Bintang Kanak-Kanak 2010 bermula, Sabtu.

Menyentuh mengenai penyertaan keluarga dalam membantu anak mereka pada pertandingan itu, Rosmah berkata beliau gembira melihat ibu bapa dan adik-beradik kanak-kanak terbabit membantu menyiapkan pentas persembahan kerana itulah yang dikehendaki kerajaan.

"Saya amat gembira melihat wujudnya satu ikatan kekeluargaan yang amat bagus dalam pertandingan ini," katanya.

Beliau juga bangga dengan keupayaan peserta berbahasa Inggeris dan kagum dengan keberanian serta keyakinan mereka menyuarakan pendapat, selain tafsiran mereka mengenai konsep 1Malaysia.

Seramai 20 finalis terdiri daripada sepuluh peserta berusia antara tujuh hingga sembilan tahun dan sepuluh lagi bagi kategori 10 hingga 12 tahun dari seluruh negara, akan mengambil bahagian dalam pertandingan pada Sabtu.

Maybank telah memperuntukkan RM10,000 sebagai hadiah utama, RM7,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM5,000 untuk tempat ketiga bagi setiap kategori.

Rosmah turut meluangkan masa lebih lima minit untuk membacakan sebuah kisah yang dihasilkan khas oleh Maybank berjudul "A story for the Children of 1Malaysia" bagi menggalakkan nilai-nilai sebenar 1Malaysia.

Beliau juga berharap ibu bapa di Malaysia akan menggalakkan anak mereka menguasai bahasa Inggeris. - BERNAMA

Artikel Lain