suria

Dua Lelaki Cedera Ditembak Pembonceng Motosikal

KUALA LUMPUR: Dua lelaki cedera ditembak seorang pembonceng motosikal di hadapan sebuah kedai pajak gadai di Bandar Baru Sungai Buloh, Jumaat.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Omar Mamah berkata ketika kejadian tersebut pada kira-kira 5.35 petang, seorang lelaki yang memakai helmet telah turun dari motosikal dan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua lelaki yang sedang duduk di hadapan kedai pajak gadai itu.

"Akibat daripada tembakan tersebut kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 28 tahun telah mengalami kecederaan di kaki kiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, polis menemui lima kelongsong peluru yang dipercayai telah digunakan semasa kejadian itu dan kini sedang memburu penunggang dan pembonceng motosikal itu.

"Kita minta bantuan daripada orang ramai sekiranya mereka mempunyai maklumat atau ternampak nombor pendaftaran motosikal yang digunakan agar segera membuat laporan kepada pihak polis," katanya.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian itu dan mereka juga akan melihat rakaman CCTV di hadapan kedai pajak gadai tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain