suria

Mesyuarat CWC MIC Ditangguh Kepada 6 Disember

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang sepatutnya diadakan Isnin ini, ditangguhkan kepada 6 Dis, kata Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, Jumaat.

Beliau berkata ini berikutan penangguhan konvensyen Barisan Nasional (BN) daripada Ahad ini kepada 5 Disember sebagai menghormati kematian bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu.

"Semua anggota CWC telah pun dimaklumkan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Selasa lepas, Samy Vellu, yang akan meletak jawatan dalam parti tidak lama lagi, berkata beliau akan membuat beberapa pengumuman besar membabitkan hal ehwal MIC pada mesyuarat CWC itu.

Menurut sumber, tokoh yang menerajui kepimpinan MIC selama hampir 32 tahun itu dijangka mengumumkan tarikh sebenar persaraannya.

Samy Vellu, yang juga bekas Menteri Kerja Raya, berkata beliau akan meletak jawatan pada Januari tahun depan.

Terdapat juga laporan bahawa beliau akan berundur pada akhir bulan ini.

Minggu lepas, Samy Vellu berkata beliau akan mengumumkan rancangan selepas persaraannya pada 13 Disember, sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan biografi pemimpin kaum India itu.

Samy Vellu dijangka menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Datuk G. Palanivel, yang akan berkhidmat sebagai pemangku presiden sehingga pemilihan parti akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain