suria

MB Selangor Terima Kunjungan SPRM, Bukan Beri Keterangan

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima kunjungan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor yang diketuai oleh Pengarahnya, Datuk Jaafar Maahad di pejabat Menteri Besar di Tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, Rabu.

Kunjungan SPRM itu bertujuan memaklumkan kepada Menteri Besar secara rasmi berkenaan penahanan seorang pegawai kanan Yayasan Selangor yang dikaitkan dengan penganjuran majis sempena Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang didakwa melebihi RM300,000.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekteriat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan pada Khamis, turut memaklumkan bahawa kunjungan SPRM itu bukan bertujuan mengambil keterangan daripada Menteri Besar seperti yang dilaporkan media.

Selasa lalu, seorang pegawai kanan Yayasan Selangor direman selama tujuh hari berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 yayasan tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Khairul Nizam Abu Bakar pada pukul 12 tengah hari dan pegawai tersebut yang difahamkan adalah pengerusi pengelola majlis tersebut direman untuk membantu siasatan.

Pegawai yang berusia dalam lingkungan 40-an itu tiba di mahkamah pada pukul 11.45 pagi dengan diiringi oleh dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Lain