suria

Kongres AMK PKR: Shamsul Iskandar Desak Siasat Segera Aduan Pemilihan

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu semua aduan dan teguran berkaitan sistem pemilihan yang berakhir baru-baru ini disiasat segera.

Sambil mengakui wujud kelemahan dalam pelaksanaan sistem pemilihan berkenaan, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, wujudnya ketidaksempurnaan tersebut kerana ia hanyalah 'ciptaan manusia'.

"Sistem yang digunakan adalah ciptaan manusia, sudah tentu tidak sempurna. Pelaksananya juga adalah manusia.

"Pengalaman akan menjadikan kita lebih cekap dalam melaksanakannya. Teguran dan dan saranan akan membantu memperbaikinya," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Kongres AMK ke-7 di sini, Jumaat.

Bagaimanapun Shamsul Iskandar menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak 'menyerang' dan menghina parti serta menaburkan fitnah tanpa sebarang bukti.

"Kita tidak akan sekali-kali kompromi dengan tindakan menyerang dan menghina parti menggunakan media musuh untuk membuat fitnah dan tomahan tanpa sebarang bukti yang kukuh.

"Mereka ini menjadi perkakas Barisan Nasional (BN) menyerang untuk melemahkan kita. AMK tidak akan bertolak ansur dengan sikap begini," katanya.

Selain itu Shamsul Iskandar turut menyelar beberapa anggota yang menjadikan pemilihan parti baru-baru ini sebagai saingan negatif.

Menurutnya sistem pemilihan satu anggota, satu undi yang digunakan buat pertama kali telah dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk berpaling dan meninggalkan perjuangan parti.

"Serangan mereka terhadap parti cuba dihalalkan dengan seribu satu macam alasan.

"Namun permergian mereka ini tidak kita suruh, atau hambat... kita terima dengan berlapang dada.

"Ini bukan kali pertama anggota atau pemimpin meninggalkan parti, sebelum ini sudah ada yang lebih hebat, telah ada yang bersumpah keramat, berpaling tadah dan kini menjadi perkakas untuk menyerang kita," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain