suria

Keda Tunggu Maklum Balas Masyarakat Mengenai Rumah Rosak Teruk

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan wakil rakyat untuk mengenal pasti rumah yang rosak teruk bagi membina semula rumah itu.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Keda telah mendapat arahan daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya membina semula rumah rosak teruk dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata pihaknya juga menerima arahan supaya memindahkan rumah-rumah yang berada di rezab tepi sungai berikutan kedudukannya tidak selamat.

"Kita cadangkan untuk menempatkan mereka (penduduk di tepi sungai) di kampung-kampung Keda yang mempunyai lot-lot kosong. Kita akan tempatkan mereka di kampung Keda yang paling hampir dengan rumah asal mereka.

"Kita tak boleh pindahkan mereka jauh kerana tak nak mereka hilang punca pendapatan. Ramai daripada mereka bekerja di kawasan yang berhampiran rumah asal mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah di Taman Malaysia, Taman Golf dan Taman Lumba Kuda di sini, Jumaat.

Ahmad Bashah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah, berkata para pemilik rumah di tepi-tepi sungai telah bersetuju untuk berpindah ke kawasan lebih selamat dan pihaknya akan menunggu laporan lengkap sebelum membina kediaman baru mereka.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata dua hari lepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Pembangunan Negeri dalam mesyuarat mereka memutuskan untuk menyediakan lori-lori bagi mengangkut barang-barang longgokan di kawasan perumahan bagi mengelakkan barang longgokan itu menimbulkan masalah terutama penyakit.

Mengenai bantuan banjir ke kawasan dilanda banjir, beliau berkata: "Kita akan teruskan sehingga habis rumah mangsa banjir kita lawati bagi memastikan mangsa banjir dapat bantuan permulaan. Ini kita salurkan menerusi ketua-ketua Umno bahagian dan wakil rakyat Barisan Nasional.

"Mangsa banjir kini berhadapan dengan rumah dan barangan yang rosak dan kerja-kerja membersihkan rumah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain