suria

JPJ Jalankan Siasatan Terhadap Empat Pegawai Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun memulakan siasatan terhadap empat pegawai JPJ Negeri Sembilan berhubung kutipan sumbangan bagi menganjurkan Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata Kementerian Pengangkutan dan JPJ amat memandang serius terhadap perbuatan mengutip sumbangan daripada orang ramai kerana ia bercanggah dengan pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 1998 'Garis panduan Pemberian dan penerimaan Hadiah di dalam Perkhidmatan Awam'.

Berikutan itu, katanya JPJ memulakan siasatan bagi tujuan mengambil tindakan tatatertib berdasarkan peruntukan menurut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A)395/1993) terhadap empat pegawai JPJ Negeri Sembilan.

"Ia adalah sebaik sahaja menerima laporan siasatan daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) melalui satu jawatankuasa siasatan jabatan yang telah ditubuhkan berhubung kutipan sumbangan bagi menganjurkan Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan," kata beliau dalam satu kenyataan, Khamis.

Solah berkata sekiranya terdapat kesalahan berlaku, antara hukuman yang boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk buang kerja mengikut peraturan 38(g), peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Beliau berkata siasatan oleh Jawatankuasa Siasatan akan memberi tumpuan kepada dua perkara penting iaitu menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 1998 'Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah di Dalam Perkhidmatan Awam'.

Selain itu, sama ada berlakunya ingkar perintah oleh anggota JPJ terhadap arahan Ketua Pengarah JPJ supaya membatalkan majlis tersebut dengan serta merta.

Katanya 12 orang, termasuk pengerusi dan anggota jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan JPJ Negeri Sembilan telah mula dipanggil oleh Jawatankuasa Siasatan pada 23 November untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Solah berkata beliau telah mengarahkan Pengarah JPJ Negeri Sembilan bertugas di Ibu Pejabat JPJ berkuat kuasa 18 November lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain