suria

Rayuan Ditolak, Hukuman Pemandu Treler Langgar Budak Dinaikkan

SHAH ALAM: Seorang pemandu treler yang telah disabitkan bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian murid Tahun Satu, Nur Salina Saparedi bukan sahaja gagal dalam rayuannya, tetapi juga jatuhkan hukuman penjara yang lebih panjang.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Siti Mariah Ahmad pada Khamis, membuat keputusan untuk mengenepikan hukuman penjara 30 bulan terhadap Mukiyat Lasiran dan digantikan kepada 3 tahun dan diarahkan bermula Khamis.

Bagaimanapun, Siti Mariah mengekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 10 bulan serta lesen memandu Mukiyat, seorang warga Indonesia yang memperoleh taraf penduduk tetap digantung selama tiga tahun selain kesalahan itu direkodkan.

Pada penghakimannya, Siti Mariah berkata, hukuman asal dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Klang, dekat sini pada 2 November 2006 adalah tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Kemalangan yang berlaku menunjukkan impak yang sangat menggerikan dan meninggalkan trauma kepada sesiapa yang melihat terutamanya keluarga dan pelajar sekolah.

“Saya berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada kamu dan pemandu-pemandu lain untuk lebih berhati-hati dan berhemah apabila memandu,” katanya.

Beliau bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam K. Renuka dan Ayasamy Vellu untuk menangguhkan hukuman penjara kerana akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mukiyat, 47, yang ditemani keluarganya kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan.

Dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Salina di hadapan Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang, Klang pada pukul 2.20 petang, 16 Mei 2005.

bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Nahas ngeri itu mendapat liputan meluas ekoran mangsa yang hendak ke sekolah digilis treler semasa melintas jalan untuk menghadiahkan kerongsang kepasa ustazahnya bersempena dengan Hari Guru.

Kemalangan itu juga menyebabkan bonggol di bina di jalan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Dalam usaha mengurangkan hukuman, Renuka menghujahkan bahawa Mukiyat tidak memandu secara merbahaya memandangkan isteri dan anaknya yang berusia empat tahun juga berada di dalam treler itu.

“Tidak mungkin Mukiyat akan membahayakan nyawa keluarganya dengan memandu secara cuai,” tambahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri pula dalam hujahannya berkata, Nur Salina merupakan cahaya mata pertama selepas ibunya keguguran sebanyak tiga kali. “Lebih menyedihkan, mangsa bukan sahaja dilanggar di hadapan sekolahnya, tetapi juga di depan mata ibunya, guru dan rakan-rakan,” katanya.

Artikel Lain