suria

PM Umum Projek Baru Minyak, Tenaga Dan Gas Menerusi ETP Pada 30 November

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan projek pembangunan baharu serta beberapa projek permulaan (EPP), yang akan meningkatkan sektor minyak, gas dan tenaga, pada 30 November.

"Beliau (Najib) akan mengumumkan beberapa projek yang sudah disahkan dan memberikan perkembangan mengenai projek sebelumnya," kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala pada Persidangan Bersama MAJECA-JAMECA ke-29 di sini Khamis.

Idris yang membentangkan kertas kerja Program Tranformasi Ekonomi (ETP) sebelum itu, bercakap kepada pemberita mengenai maklumat terkini dan tumpuan 2011. Beliau berkata untuk tahun depan, tumpuan ialah terhadap melakanakan projek menerusi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang penting untuk ETP.

"Semasa memilih bidang-bidang ini, kami yakin ia mempunyai kelebihan saingan dan memberi daya tahan kepada ekonomi untuk menyerap sebarang kejutan," kata Idris.

Mengenai rasionalisasi subsidi, beliau berkata kerajaan akan membuat kajian semula dan menyelaraskannya pada masa yang sesuai.

"Saya berpendapat apa yang kami sudah lakukan ialah memastikan kami dapat mengurus liberalisasi harga berdasarkan harga pasaran," katanya.

Berdasarkan maklum balas, beliau berkata orang ramai bersetuju terhadap usaha merasionalisasikan subsidi, jika kerajaan melakukannya secara beransur-ansur dan bukan peningkatan besar.

Ditanya sama ada kajian semula itu akan dilakukan setiap enam bulan, Idris berkata: "Kami akan maklumkan kepada orang ramai cara ia dilakukan."

Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak akan diumumkan lebih awal bagi mengelak herotan pasaran, seperti tindakan menyorok barangan oleh beberapa pihak. - BERNAMA

Artikel Lain