suria

Pemandu Lori Disamun Dua Lelaki Berparang

KUANTAN: Seorang pemandu lori treler menghadapi detik cemas selama kira-kira lima jam selepas kenderaan membawa muatan besi bernilai RM220,800 yang dipandunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian 1 pagi Rabu, mangsa berusia 50 tahun yang dalam perjalanan ke Klang, Selangor berhenti rehat seketika di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dekat Temerloh setelah penat memandu.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pemandu itu bagaimanapun didatangi dua lelaki yang menutup separuh mukanya dengan kain bagi mengelak dicam mangsa.

"Salah seorang daripada mereka kemudian mengugut mangsa dengan mengacukan parang ke lehernya sebelum mengikat kaki dan tangan serta menutup mata mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya, mangsa yang diletakkan di bahagian belakang pemandu menempuh perjalanan kira-kira lima jam bersama suspek sebelum lori terbabit berhenti di sebuah restoran di Taman Setia, Rawang, Selangor.

Noor Asyikin berkata, mangsa yang menyedari telah ditinggalkan suspek kemudian berusaha melepaskan ikatan.

"Selepas berjaya membuka ikatan, dia mendapati bahagian ekor lori treler yang membawa muatan besi seberat 61 tan itu telah hilang sebelum membuat laporan polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain