suria

Melaka Terima Peruntukan RM157.2 Untuk Program Pelancongan

MELAKA: Bersesuaian dengan pengiktirafan sebagai negeri bersejarah dan pelancongan, Melaka menerima peruntukan sebanyak RM157.2 juta bagi tempoh dua tahun di bawah projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata di bawah program pelaksanaan pelancongan, peruntukkan kepada Melaka itu adalah sebanyak 46 peratus daripada jumlah keseluruhan RM340 juta di bawah program berkenaan.

"Peruntukkan ini sangat istimewa sebagai pengiktirafan kerajaan pusat kepada peranan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara," katanya kepada pemberita selepas beliau menjadi tetamu pada Majlis Bersama Tokoh yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) di sini malam Rabu.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pada majlis itu, Dr Ng mengumumkan lima projek utama bagi tempoh dua tahun di bawah RMK-10 iaitu program peningkatan kemudahan pelancongan di Taman Botanikal Ayer Keroh sebanyak RM30 juta, pembangunan Tasik Chin Chin di Jasin (RM25 juta), pembinaan infrastruktur kereta kabel di Bandar Hilir (RM49 juta).

Dua projek lagi ialah pembangunan monorel fasa kedua di pesisiran Sungai Melaka (RM13.2 juta) dan pembangunan perkampungan Hang Tuah di pesisiran Sungai Duyung, di sini berharga RM40 juta.

"Projek ini sebagai program peningkatan kemudahan pelancongan di Melaka di samping turut menyasarkan menggalakkan pelancong asing," katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata Melaka bercadang untuk menganjurkan Festival Antarabangsa Baba dan Nyonya yang pertama di sini pada tahun depan dalam usaha menarik pelancong asing ke negeri ini.

"Festival itu akan dilangsungkan di hotel butik "Casa del Rio" di Bandar Hilir di sini yang dijangka siap pada April depan sebagai venue utama dan akan ditonjolkan keunikan tradisi, kebudayaan, fesyen dan makanan masyarakat itu untuk diperkenalkan ke seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata festival itu yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan akan mengundang penyertaan dari Pulau Pinang selain dari negara luar seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, yang mempunyai masyarakat baba dan nyonya. - BERNAMA

Artikel Lain