suria

Kes Curi Enjin Jet: Kecoh Tharmendran Ditahan Semula, Didakwa Lari Dari Tugas

Tharmendran (kanan) dan Surendran (tengah) cuba berunding dengan Mohd Razif. Foto BERNAMA
Tharmendran (kanan) dan Surendran (tengah) cuba berunding dengan Mohd Razif. Foto BERNAMA
Tharmendran (kanan) dan Surendran (tengah) cuba berunding dengan Mohd Razif. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (PDRM), N. Tharmendran yang didakwa atas tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat milik TUDM ditangkap semula di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah di sini, Khamis.

Lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli menghampiri kereta yang dinaiki oleh Tharmendan dan ayahnya, N.Nagarajah yang sedang bersiap untuk pulang selepas prosiding mahkamah selesai.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Asmabi Mohamad terdahulu menetapkan 17 Disember ini untuk memberi keputusan dalam permohonan Tharmendran bagi menggantung secara kekal tuduhan terhadapnya.

Menurut Mohd Razif, penahanan itu dibuat atas dakwaan Tharmendran gagal untuk hadir bertugas sejak menjelaskan jaminan pada 6 September lalu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 54, Akta Angkatan Tentera 1972.

Tharmendran pada mulanya kelihatan terpinga-pinga apabila keretanya dihalang oleh dua kenderaan termasuk satu van TUDM.

Dia yang enggan keluar daripada kereta mula ‘berunding’ untuk diberi peluang bagi menghubungi dan mendapatkan nasihat daripada peguamnya, N.Surendran.

Selang beberapa minit kemudian, Surendran tiba di tempat kejadian dan mempersoalkan tindakan menahan Tharmendran yang disifatkan salah di sisi undang-undang.

“Penahanan ini tidak mengikut undang-undang. Dia adalah seorang orang awam dan bukan lagi berkhidmat dengan TUDM.

“TUDM tidak memperbaharui kontrak kerja (Tharmendran) dan tidak lagi membayar gaji kepadanya,” kata Surendran.

Bagaimanapun, Mohd Razif tetap mengatakan tugasnya adalah untuk mengambil Tharmendran, yang masih berada di bawah perkhidmatan.

Dia juga memberitahu, Surendran boleh dikenakan tindakan kerana menghalang penahanan itu memandangkan notis supaya menyerahkan Tharmendran telah diserahkan sebelum ini.

“Adakah kamu mengugut saya? Bagaimana saya menghalang tugas? Jika benar, tangkap saya, bukan Tharmendran,” jawab Surendran.

Beliau menambah, terdapat ramai saksi yang melihat penahanan itu dan TUDM ‘membuka ruang’ kepada prosiding lain seperti saman sivil melalui penahanan itu.

Tharmendran yang hanya mengikuti ‘soal-jawab’ itu dari dalam kereta akhirnya mencelah dengan mengatakan ayahnya ingin membatalkan jaminan yang mengakibatkan dia boleh ditahan semula di Penjara Sungai Buloh.

“Kamu boleh buat demikian, tapi kamu perlu ikut saya,” kata Mohd Razif yang mengatakan ia adalah prosedur normal dalam perkhidmatan tentera.

Surendran juga memohon jaminan daripada Mohd Razif bahawa beliau akan mempunyai peluang untu berjumpa dengan anak guamnya tanpa sekatan.

Mohd Razif menjawab, peluang itu tidak akan disekat.

“Kami akan membawa Tharmendran ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan fizikal sebelum di bawa ke Pusat Tahanan Tentera Batu Kentomen, sebuah pusat tahanan yang neutral,” tambahnya.

Mohd Razif juga memberi akujanji bahawa Tharmendran tidak akan diserahkan kepada Mejar Ismail Omar dan Mejar Norazan Md Amin yang didakwa melakukan penderaan fizikal semasa Tharmendran ditahan oleh TUDM sebelum ini.

Tharmendran yang membuat panggilan telefon kemudiannya menyerahkan barangan peribadi iaitu jam tangan, dompet dan wang tunai RM50 kepada ayahnya sebelum keluar menyerah diri.

Surendran sekali lagi ‘mempertikaikan’ keperluan untuk menggari Tharmendran ekoran lelaki itu bukan seorang penjenayah, sebaliknya telah dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Razif menerangkan ia adalah prosedur yang ditetapkan oleh pihak hospital bagi menjamin keselamatan pesakit lain.

“Saya boleh untuk tidak menggari dia di sini, tetapi saya masih perlu mengenakan gari apabila tiba di hospital,” tambahnya.

Surendan juga sekali lagi menegaskan bahawa Tharmendran menyerah diri dalam keadaan protes kerana menyedari akan ‘diheret’ jika enggan berbuat demikian.

Semasa Tharmendran dibawa pergi pada pukul 12 tengah hari Khamis, keretanya masih berada di kawasan tempat letak kereta.

Sementara itu, dalam sidang media ringkas di tempat kejadian, Surendran memberitahu akan mengambil tindakan segera atas penahanan itu.

“Saya akan memfailkan permohonan habeas corpus untuk Tharmendran dibawa ke mahkamah dan dilepaskan serta mengambil tindakan sivil terhadap kerajan dan Kementerian Pertahanan,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 bernilai RM607,140, pada 2007 dan 2008.

Dia didakwa berbuat demikian di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di mahkamah, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Syed Faisal Syed Amir dan Hamidi Mohd Noh.

Artikel Lain