suria

Kajian Kebolehlaksanaan 'Bullet Train' Malaysia-Singapura Mulai Januari 2011

KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan ke atas keretapi berkelajuan tinggi menghubungkan Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata, keputusan kajian itu kemudiannya akan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan lanjut.

"Kami akan melakukan kajian itu berasaskan hujah asal oleh beberapa syarikat yang melakukan kerja-kerja awal.

"Menjelang pertengahan tahun depan, jika okay, kami akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Singapura," katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Bersama MAJECA-JAMECA ke-29, di sini Khamis.

Katanya, jika projek itu mampu dilaksanakan, kerajaan akan berjumpa dengan kerajaan Singapura untuk mendapatkan kelulusan mereka dan memulakan perbincangan mengenai modal projek itu.

Mengenai projek transit di Lembah Klang, Idris berkata, kerajaan sedang meneliti rekaan akhir terutama dalam memastikan hubungan jaringan dari aspek menghubungkan laluan sedia ada dengan destinasi perniagaan.

"Kami akan menyerahkannya kepada Majlis Perancangan Ekonomi dan Kabinet, serta dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Idris berkata, kerja-kerja fizikal untuk projek itu dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

Menurut beliau, sebahagian projek itu akan diagihkan kepada tender kompetetif. - BERNAMA

Artikel Lain