suria

Enam Belas Rumah Rosak Dipukul Ribut Di Perlis

KANGAR: Enam belas rumah di tiga buah kampung di sini rosak dipukul ribut petang Rabu.

Tujuh daripadanya di kampung Long Boh, lima di Kampung Baru, tiga di Tambun Tulang dan sebuah di Sungai Bakong.

Turut rosak ialah rumah seorang pesawah, Abu Bakar Ahmad, 40, apabila sebahagian besar komponen rumahnya termasuk bumbung dan dinding rumah diterbangkan angin sejauh 20 meter dalam kejadian pukul 6.30 petang di Kampung Long Boh dekat sini. Abu Bakar berkata, rumah itu masih dalam proses baik pulih dan beliau bersama isteri dan dua anaknya hanya berada di rumah itu pada sebelah siang kerana belum ada bekalan elektrik manakala sebelah malamnya menumpang di rumah kakaknya yang terletak berhampiran.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abu Bakar bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian itu. Mengikut perancangan, beliau sekeluarga akan menduduki rumah itu secara tetap mulai bulan depan tetapi kejadian itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM5,000.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut melawat mangsa kejadian. Beliau diiringi Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis, Abdullah Ali.

Md Isa berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut manakala Baitulmal akan memberi bantuan membaiki rumah yang rosak. "JKM akan mengesan mana-mana lagi rumah yang rosak dipukul ribut bagi menghulurkan bantuan segera kepada mereka," katanya. JKM masih meneruskan bancian mengenai jumlah rumah terbabit dan anggaran kerugian. Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut melawat mangsa-mangsa kejadian ribut dan menghulurkan bantuan kewangan antara RM300 sehingga RM1,000. Shahidan berkata, 14 daripada 16 keluarga mangsa ribut itu adalah mereka yang telah terjejas dengan kejadian banjir yang melanda kawasan itu awal bulan ini. - BERNAMA

Artikel Lain