suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Di Melaka

ALOR GAJAH: Dua saudara sepupu maut manakala empat cedera setelah kereta yang mereka naiki terbabas di satu selekoh di Jalan Kolam Air, Machap menuju ke Durian Tunggal dekat sini pada 1.00 pagi, Selasa.

Mangsa yang maut di tempat kejadian adalah Quek Mei Yen, 16, seorang rakyat Singapura, dan seorang budak perempuan, On Hock Yau, berusia lima tahun dari Durian Tunggal di sini.

Empat yang cedera parah ialah pemandu kenderaan Proton Iswara, On Wei Wei 25; adik lelakinya On Seng Peek, 24; sepupunya, Quek Jin Long, 12; dan Quek Jin Yong, 15 tahun.

Menurut keluarga mangsa yang enggan dikenali mereka sekeluarga telah bertemu di Machap Umbo untuk makan malam meraikan sepupu mereka dari Singapura untuk bercuti di Melaka.

"Setelah makan mereka pulang ke Durian Tunggal untuk bermalam di rumah Wei Wei sebelum dijadualkan balik ke Singapura pada hari ini," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini.

Ketika dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu Wei Wei mendahului dua buah kereta keluarganya di belakang.

Menurutnya, semasa melalui tempat kejadian keluarga mereka tidak melihat sebarang kejadian kemalangan kerana kawasan tersebut gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.

Apabila sampai ke rumah, mereka menyedari kereta yang dipandu oleh Wei Wei masih tidak sampai ke rumah dan apabila salah seorang mangsa dapat dihubungi mereka diberitahu bahawa kereta tersebut kemalangan.

Semua yang cedera dimasukkan ke unit rawatan kecemasan Hospital Melaka.

Dua yang terkorban juga dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Omar Ali Saifuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain