suria

Persatuan Nelayan Perak Nafi Seleweng Jual Minyak Bersubsidi

PANTAI REMIS: Persatuan Nelayan Negeri Perak (PNNP) menafikan wujudnya penyelewengan diesel bersubsidi seperti yang didakwa berlaku di beberapa kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) termasuk PNK Manjung Utara seperti yang dilaporkan.

Pengerusi PNNP, Ahmad Mat Taib berkata, pihaknya tidak pernah menyeleweng berhubung penjualan diesel subsidi kepada pihak yang tidak dibenarkan sebaliknya hanya menjual kepada nelayan yang berdaftar sahaja.

"Kadar simpanan yang dibenarkan di PNK Manjung Utara ialah sebanyak 120,000 liter sehari. Bagaimanapun ketika serbuan dibuat terdapat sebanyak 160,000 liter minyak diesel bersubsidi di situ.

"Lebihan sebanyak 40,000 liter itu adalah untuk simpanan nelayan yang akan turun ke laut pada awal pagi sebelum bekalan baru sampai untuk kegunaan seterusnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai 'Ops Nano' yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam, beliau berkata dalam serbuan di pusat jualan PNK Manjung Utara semalam mendapati pihaknya telah menyimpan bekalan melebihi had yang dibenarkan.

Bagaimanapun katanya pada hari berkenaan, sebahagian besar nelayan tidak turun ke laut kerana ribut dan secara tidak langsung minyak simpanan tidak habis dijual.

Dalam 'Ops Nano' itu, seramai 21 individu dari Perak, Pahang, Kedah dan Perlis ditahan termasuk 414,000 liter diesel bersubsidi disita dalam operasi tersebut.

Ahmad berkata kuota bekalan minyak yang diluluskan oleh KPDNKK tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan nelayan di situ pada setiap hari.

Katanya, pihak persatuan memerlukan sekurang-kurangnya empat juta liter sebulan bagi menampung keperluan nelayan di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun buat masa ini, pihak persatuan hanya diperuntukkan sebanyak 3.2 juta liter sahaja setiap bulan walaupun telah memohon peruntukan tambahan daripada pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)," katanya.

Sehubungan itu, mereka terpaksa menyimpan lebihan minyak bagi mengelak bekalan terputus sebelum bekalan baru tiba pada hari berikutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain