suria

MB Kedah Berterima Kasih Kepada Kerajaan Pusat Kerana Bantuan Banjir

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berterima kasih kepada kerajaan pusat dan agensi-agensinya kerana bantuan yang diberi ketika banjir teruk melanda negeri ini baru-baru ini dan juga bantuan pasca banjir.

Katanya bagaimanapun beliau agak terkilan kerana bantuan itu tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri atau diselaraskan dengan usaha bantuan kerajaan negeri sehingga menyebabkan timbul dakwaan kerajaan negeri lepas tangan dan tidak menghulurkan bantuan.

Beliau berkata di peringkat negeri, pengerusi jawatankuasa bencana adalah Setiausaha Kerajaan Negeri dan segala bentuk bantuan sepatutnya dimaklumkan bagi mengelak pertindihan bantuan.

"Walaupun pusat beri bantuan, saya tidak lepas tangan. Ramai tidak tahu bahawa kami juga menyalurkan bantuan sebanyak RM2 juta yang disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah agensi pusat," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan wang bagi digunakan jika banjir berlaku tetapi kerajaan negeri berhadapan dengan kekangan peralatan dan logistik dalam membantu mangsa banjir.

Bagi bantuan pasca banjir, Azizan berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih harta-harta awam yang rosak akibat banjir selain bantuan dalam bentuk rebat bil air sebanyak 30 peratus bagi bil November.

Katanya pihaknya juga akan berbincang dengan kontraktor projek landasan kereta api berkembar, MMC-Gamuda Joint Venture mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan banjir di masa hadapan menjadi lebih teruk.

"Sama ada KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) dan Gamuda hendak mengaku atau tidak, projek landasan kereta api itu ada kesannya kepada banjir kali ini. Banjir itu memang tetap berlaku... tetapi kali ini aliran air ke laut lambat sangat kerana banyak saluran air berdekatan projek itu yang tersumbat.

"Kita tidak akan hentikan projek landasan kereta api berkembar ini kerana projek ini penting untuk rakyat. Kerajaan negeri Kedah sebenarnya tiada masalah dengan kerajaan pusat dan mudah bekerjasama," katanya.

Beliau berkata empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat dengan projek landasan kereta api berkembar iaitu Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Kubang Pasu telah diminta untuk meneliti kawasan-kawasan yang mudah dilanda banjir.

Mengenai kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua, Azizan berkata kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa untuk menggerakkan usaha bantuan yang turut melibatkan Majlis Ketua Kampung (MKK).

"Kita akan tumpukan kepada Baling dan Kulim/Bandar Baharu. Kawasan banjir yang kena baru-baru ini mereka dah bersedia. Kita nak sediakan sampan-sampan kecil fiber glass sebagai persediaan banjir," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain