suria

Dua Pekerja Pengurup Wang Parah Ditembak Dalam Rompakan

KUALA LUMPUR: Dua pekerja lelaki sebuah pejabat pengurup wang dan seorang wanita warga Indonesia cedera parah selepas ditembak dua perompak yang melarikan wang tunai bernilai RM200,000 dalam kejadian rompakan pejabat pengurup wang di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, Rabu.

Rompakan nekad kira-kira 10 minit itu berlaku pada 3.30 petang di pejabat pengurup wang yang terletak di tingkat satu sebuah pasar raya tiga tingkat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian itu, dua pekerja terbabit didatangi dua lelaki yang memakai topeng dan topi keledar serta bersenjatakan pistol dan parang.

"Suspek terus memasuki pejabat itu dan mengarahkan mereka menyerahkan sejumlah wang. Bagaimanapun pekerja itu enggan menyerahkan wang terbabit dan suspek terus merampasnya.

"Suspek kemudian melarikan diri menuju ke sebuah motosikal yang terletak di luar bangunan itu. Pekerja yang berang bertindak nekad dengan mengejar suspek dan pada ketika inilah suspek melepaskan beberapa das tembakan yang mengakibatkan seorang pekerja cedera di tangan dan perutnya manakala seorang lagi ditembak di peha," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ku berkata, satu tembakan itu turut mengenai seorang wanita warga Indonesia yang kebetulan berada di situ yang mengakibatkan mangsa cedera di kakinya.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dan kesemua mangsa berumur 30an itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek seolah-olah telah merancang jenayah itu berdasarkan modus operandi mereka iaitu meluru ke dalam pejabat dengan memegang senjata.

Polis katanya, masih mengesan identiti suspek melalui cap jari yang ditemui di kawasan kejadian terbabit berikutan kamera litar tertutup tidak dipasang di bangunan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya. Sementara itu menurut saksi yang enggan dikenali, beliau terdengar bunyi tembakan tetapi beranggapan ia adalah operasi menembak gagak oleh pihak berkuasa.

"Saya terdengar bunyi beberapa tembakan dilepaskan dan saya tidak mengendahkannya kerana di sini kadangkala ada operasi tembak gagak. Namun tiba-tiba, ramai berkumpul di kawasan ini dan mereka memberitahu ada kes rompakan sebelum ambulans dan polis tiba," katanya.

Saksi itu mendakwa ada lebih tiga tembakan dilepaskan dari jarak 50 meter yang mengenai mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain