suria

Dua Lelaki Iran Ditahan Cuba Seludup Syabu Bernilai RM2.1 Juta Di KLIA

SHAH ALAM: Cubaan dua lelaki warga Iran menggunakan kertas karbon untuk mengelakkan dadah jenis syabu bernilai RM2.1 juta dari dikesan mesin pengimbas gagal, akibat gerak geri mereka yang mencurigakan.

Mereka ditahan pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Ahad lepas (21 November) selepas tiba melalui penerbangan dari Bahrain kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner (ACP) Nordin Kadir berkata kedua-dua suspek yang setiap seorang membawa sebuah bagasi ditahan bila gerak geri mereka mencurigakan.

"Mereka ditahan dan dibawa ke bahagian imbasan bagasi. Pada mulanya didapati tiada barangan mencurigakan dalam kedua-dua bagasi.

"Bagaimanapun selepas melakukan pemeriksaan secara manual, didapati di bahagian bawah pelapik setiap bagasi terdapat dua bungkusan plastik lutsinar berbalut dengan kertas karbon berwarna biru mengandungi dadah disyaki syabu seberat 8.2 kg dan bernilai kira-kira RM2.1 juta," katanya dalam sidang media di sini, Rabu.

Nordin berkata turut dirampas daripada kedua-dua suspek ialah wang tunai berjumlah USD1,450.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek yang berumur 29 dan 35 tahun baru pertama kali datang ke Malaysia dan mereka dijadualkan pulang ke negara mereka semalam.

Katanya kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam sindiket sama yang cuba menyeludup masuk dadah syabu ke negara ini.

Nordin berkata kedua-dua suspek kini direman sehingga 28 November ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga 21 November lepas, pihaknya telah menyiasat sebanyak 81 kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan warga asing di KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada tahun ini.

"Siasatan dan tangkapan membabitkan 100 lelaki dan 19 wanita. Tangkapan tertinggi melibatkan warga Iran iaitu seramai 78 orang diikuti India 11 orang dan Nigeria tujuh orang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain