suria

Anwar Ibrahim Mahu Hakim Tarik Diri: Situasi Di Mahkamah Tegang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memohon agar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes liwatnya.

Ini merupakan kali kedua Anwar memohon untuk hakim itu menarik diri. Permohonan pertama beliau telah ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin serta di Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan.

Peguam utama Anwar Karpal Singh memberitahu mahkamah bahawa anak guamannya (Anwar) telah mengarahkan beliau untuk membuat permohonan agar hakim berkenaan menarik diri.

Karpal berkata, beliau membuat permohonan itu atas alasan hakim berkenan telah memberikan tafsiran berlainan peruntukan Seksyen 45 Akta Keterangan dalam keputusannya semalam.

Peguam itu berkata, beliau akan memfailkan permohonan rasmi esok. Mahkamah itu menetapkan esok untuk mendengar perkara tersebut.

Karpal menambah, Hakim Mohamad Zabidin dalam menolak percubaan Anwar untuk mendapatkan nota klinikal Mohd Saiful Bukhari yang disediakan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL), tidak memberikan pertimbangan terhadap penghujahannya mengenai keputusan Mahkamah Agung berkaitan Seksyen 45. Beliau juga berkata, Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Agung dalam kes-kes sivil dan jenayah, keterangan seorang pakar mengenai tulisan tangan tidak disokong dengan data yang meyakinkan, menunjukkan proses di mana beliau membuat keputusan tidak wajar mengikut Seksyen 45.

Pada proseding hari ini, Karpal juga membuat permhonan untuk mensabitkan pakar patologi forensik HKL Dr Siew Sheue Feng untuk kesalahan mengikut Kanun Keseksaan kerana menghina mahkamah.

Dr Siew adalah saksi ketiga pada perbicaraan Anwar, yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Ini dibangkitkan Dr Siew setelah disoal balas oleh Karpal, berkata dalam keterangan beliau bahawa beliau telah lihat borang protokol yang diisinya mengenai perihal perubatan pengadu, Mohd Saiful Bukhari.

Berikutan itu, Karpal memohon untuk sabit menghina mahkamah terhadap Dr Siew, kerana sebelum ini beliau (Dr Siew) berpegang teguh dengan prinsipnya tidak akan merujuk pada borang protokol, walaupun Karpal telah beberapa kali memintanya untuk merujuk kepada laporan berkenaan.

Karpal mempertikaikan bahawa berdasarkan pada keputusan Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 159 Akta Keterangan, saksi yang masih disoal balas tidak boleh merujuk mana-mana nota untuk mengingati semula semasa mahakamah berehat.

Beliau menambah, saksi hanya berhak berbuat demikian dalam kandang saksi apabila beliau disoal balas.

Merujuk pada keputusan Mahkamah Persekutuan lain, Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata mengikut seksyen itu, saksi yang masik disoal siasat boleh merujuk kepada notanya semasa proseding atau ketika mahkamah berehat.

Hakim Mohamad Zabidin akan memutuskan esok mengenai perkara ini.

Pada permulaan proseding, keadaan di mahkamah tegang berikutan berlakunya pertikaman lidah antara Karpal dan Mohamed Yusof setelah peguam Anwar itu meminta Dr Siew agar melihat laporan protokolnya, kerana beliau tidak ingat apa yang ditulis dalam laporan berkenaan.

Karpal: Adakah anda ingat nama pesakit yang anda tulis dalam borang protokol?

Dr Siew: Ya, namanya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Karpal: Nombor kad pengenalannya? Dr Siew: Saya tidak ingat.

Karpal: Adakah anda mahu merujuk pada borong protokol anda?

Dr Siew: Saya mahu lihat pada laporan penuh perubatan saya. Ia satu laporan penuh.

Karpal: Anda ingatkah tarikh lahir Mohd Saiful Bukhari?

Dr Siew: Saya tidak ingat.

Karpal: Sebab itulah anda hendaklah merujuk pada borang protokol anda untuk mengingati semula.

Dr Siew: Saya mahu rujuk pada laporan perubatan penuh saya.

Pada ketika ini Mohamed Yusof membantah soalan Karpal dan memintanya untuk berhentikan permintaannya agar Dr Siew merujuk kepada borang protokol itu.

Karpal mencelah bahawa Dr Siew telah diprogram seperti robot, di mana mahkamah menyaksikan pertikaman lidah antara Karpal dan Mohamed Yusof, yang memaksa hakim itu menangguhkan seketika proseding berkenaan.

Perkara itu belum berakhir di situ kerana selepas hakim tersebut meninggalkan bilik mahkamah, Anwar telah mengatakan kepada Mohamed Yusof bahawa pendakwaan telah membuat penekaan terhadap keterangan itu dan Mohamed Yusof menjawab bahawa Anwar tidak faham undang-undang.

Beberapa orang di galeri awam dilihat menjerit kepada Mohamed Yusof apabila beliau mempertikaikan peguam bersama Anwar, S.N. Nair.

Berikutan itu, pegawai polis di mahkamah itu menasihatkan mereka di galeri awam meninggalkan tempat tersebut, dengan mengatakan mereka hendaklah menghormati mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain