suria

Skandal Pasir: SPRM Siasat 6 Kes

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam fail siasatan berkaitan skandal perlombongan pasir di Selangor melibatkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada enam kertas siasatan itu lima kes membabitkan individu manakala satu lagi kes adalah secara umum.

"Daripada enam kertas siasatan itu, dua daripadanya telahpun diambil tindakan di mahkamah," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) berkaitan hasil siasatan dan tindakan yang telah diambil pihak SPRM mengenai isu skandal pasir di Selangor.

Bagaimanapun menurut Liew, SPRM sedang mengumpul pelbagai maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan skandal pasir di Selangor bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil.

Mengulas mengenai soalan tambahan yang dikemukakan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai aduan yang dikemukakan S.Manikavasagam(PKR-Kapar) sebelum ini mengenai skandal pasir di negeri itu, Liew berkata beliau berharap agar Ahli Parlimen berkenaan mengemukakan maklumat mengenainya kepada SPRM.

Menurut beliau, Ahli Parlimen itu sewajarnya tampil mengemukakan maklumat kepada SPRM bagi membantu agensi itu menjalankan siasatan.

"Amat wajar kalau Ahli Parlimen itu datang kepada SPRM dan berikan maklumat lanjut...jika ada informasi lanjut mengenainya, ia akan memudahkan siasatan oleh pihak SPRM," katanya.

Manikavasagam sebelum ini pernah membuat laporan polis dan mendakwa wujudnya amalan rasuah membabitkan pegawai kanan anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dakwaan mengenai amalan rasuah dalam KSSB dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Salcat).

Sementara itu, Liew memaklumkan bahawa SPRM telah menyerahkan hasil siasatan kes bekas Setiausaha Politik kepada Menteri diJabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Tambahnya SPRM telah melengkapkan siasatan kes melibatkan Hasbie Satar dan kini menunggu tindakan selanjutnya daripada DPP.

"Sehingga kini kes berkenaan telah selesai diperingkat siasatan dan telahpun dihantar kepada DPP," katanya.

Hasbie ditahan SPRM pada 12 Februari lalu tetapi dibebaskan enam hari kemudian dengan jaminan RM50,000.

Sebelum itu, pegawai SPRM dari Putrajaya menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang dan menemui wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain