suria

Samy Vellu Akan Buat Pengumuman Besar Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang akan mengundurkan diri tidak lama lagi, dijangka membuat pengumuman besar berkaitan hal ehwal parti itu pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)Isnin ini.

"Untuk makluman anda mesyuarat CWC pada 29 November, saya akan sampaikan banyak perkara kepada CWC dan mereka akan membuat keputusan perkara yang akan dilakukan.

"Itulah yang saya boleh katakan kepada anda hari ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek kepada pelajar-pelajar di Ibu pejabat MIC di sini, Selasa.

Ditanya mengenai "perkara" yang akan diumumkan, beliau yang menerajui parti itu hampir 32 tahun berkata : "Banyak perkara, perkara yang hendak dilakukan dan semua itu".

Bagaimanapun, sumber-sumber percaya bahawa pengumuman presiden itu mungkin termasuk pengumuman tarikh beliau akan bersara.

Samy dijangka menyerahkan pucuk pimpinan itu kepada timbalannya Datuk G. Palanivel yang akan memangku jawatan presiden sehingga pemilihan MIC akan datang. Sebelum ini, bekas Menteri Kerja Raya itu berkata beliau akan mengundurkan diri pada Januari tahun depan.

Perkembangan terbaru hari ini mengukuhkan lagi spekulasi bahawa Samy akan dilantik sebagai duta khas oleh kerajaan untuk membantu mendapatkan projek-projek infrastruktur di India.

Ketika ditanya pemberita jika beliau merancang untuk berehat selepas bersara, beliau berkata: "Tidak ada perkara berehat dalam hidup saya. Hidup saya seperti enjin diesel, anda tidak boleh memberhentikannya.

"Anda mesti membiarkannya bergerak, barulah ia lebih kuat dan lebih baik," tambah beliau.

Beberapa hari lepas, Samy juga telah membuat pengumuman bahawa beliau akan membuat pengumuman mengenai rancangannya selepas bersara pada 13 Disember, sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan biografi pemimpin kaum India itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain