suria

Pesawat A380 Qantas Sambung Semula Operasi Minggu Ini

MELBOURNE: Pesawat-pesawat superjumbo A380 Qantas akan kembali mengadakan perkhidmatan menjelang akhir minggu ini, demikian menurut laporan Australian Associated Press.

"Kami amat selesa dengan operasi pesawat itu," kata Ketua Eksekutif Qantas, Alan Joyce, kepada wartawan di Sydney Selasa. Joyce berkata pesawat-pesawat itu akan mula mengadakan penerbangan semula mulai Sabtu, 27 November.

Enam pesawat A380 syarikat itu dihentikan perkhidmatannya bulan ini setelah kapal terbang yang menuju ke Sydney terpaksa berpatah balik ke Singapura apabila satu daripada enjinnya meletup di angkasa. Pesawat-pesawat itu dihentikan perkhidmatan pada 4 November selepas QF32 mengalami letupan pada satu daripada empat enjinnya di ruang udara Pulau Batam, Indonesia.

Jurutera-jurutera Qantas kemudiannya menjalankan penyiasatan ke atas semua enjin Rolls Royce Trent 900 pada pesawat A380nya. Kata Joyce Qantas akan memastikan empat daripada pesawat A380 itu beroperasi menjelang Krismas.

Penerbangan pertama ialah QF31, sebuah pesawat A380 yang dijadualkan membuat penerbangan dari Sydney ke London melalui Singapura pada 27 November.

Pesawat bagi perkhidmatan itu akan diangkut ke Sydney dengan penerbangan balik dari Los Angeles.

Pesawat kedua dijangka berlepas dari Los Angeles ke Sydney dalam minggu ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain