suria

Pengangguran Di Kelantan Meningkat Kerana Kurang Pekerjaan

KOTA BAHRU: Jumlah penganggur di Kelantan meningkat kepada 25,733 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 24,336 orang untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kelantan, Mohamad Yaacob, memberitahu Bernama antara penyumbang utama kepada pertambahan itu ialah kurangnya pekerjaan di negeri itu.

Beliau berkata faktor lain ialah sikap rakyat Kelantan yang memilih pekerjaan atau enggan berhijrah ke tempat lain kerana mahu bekerja di negeri itu.

Mohamad berkata jabatan itu sedang meningkatkan kesedaran dalam kalangan penganggur dan lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi menerusi Program Penempatan Pekerjaan (3P) Azam Kerja Peringkat Negeri 2010 yang akan diadakan di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Katanya melalui program itu sebanyak 2,124 peluang pekerjaan akan ditawarkan yang merangkumi dalam bidang profesional dan teknikal (107); pengurusan (398); perkeranian (20); tenaga mahir dan separuh mahir (440) serta am/buruh/operator pengeluaran (1,159).

Mohamad berkata peserta program akan diberi elaun RM100 dan tambang percuma sepanjang dua hari itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain