suria

Pemandu Lori Mengaku Salah Menceroboh Kerana Mabuk

KUALA LUMPUR: Minuman keras yang diambil secara berlebihan sememangnya akan menyebabkan manusia hilang kewarasan dan melakukan perkara tanpa sedar.

Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu lori gas, apabila dia secara tidak sengaja telah menceroboh sebuah butik pengantin dalam keadaan mabuk, sebelum tertidur di situ.

Pada Selasa, S. Sandran, 41, menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini, di mana dia mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh butik berkenaan.

“Saya minta maaf. Ketika itu saya mabuk, saya tolak pintu yang tiba-tiba terbuka dan saya terus masuk tidur,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga memohon mahkamah mengambil kira faktor bahawa dia adalah penanggung tunggal keluarga dalam menjatuhkan hukuman.

Majistret Zulkipli Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM300 atau penjara tiga hari jika gagal membayar denda itu.

Sandran didakwa menceroboh degan memasuki butik pengantin tersebut di nombor 80-G, Wisma PK, Jalan Loke Yew, Dang Wangi, di sini pada pukul 2 pagi, 20 November lalu.

Kehadiran Sandran disedari oleh seorang pekerja butik yang kemudiannya menghubungi pemilik butik tersebut dan pemeriksaan mendapati tiada barangan yang hilang.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain