suria

Pegawai Kanan Yayasan Selangor Direman 7 Hari

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor direman selama tujuh hari bermula Selasa, berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 yayasan tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Khairul Nizam Abu Bakar pada pukul 12 tengah hari dan pegawai tersebut yang difahamkan adalah pengerusi pengelola majlis tersebut direman untuk membantu siasatan.

Pegawai yang berusia dalam lingkungan 40-an itu tiba di mahkamah pada pukul 11.45 pagi dengan diiringi oleh dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Difahamkan, pegawai itu ditahan oleh SPRM dan dibawa ke pejabatnya di tingkat 16, Pejabat Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dekat sini pada pagi Isnin.

.Pada 12 November lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 15 November lalu.

Baginda membuat keputusan tersebut selepas dukacita apabila dimaklumkan kos perbelanjaan yang melebihi RM300,000 untuk majlis itu.

Pada 15 November lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar pula mendakwa pembaziran dalam penganjuran majlis itu bukannya melebihi RM300,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi melebihi RM800,000.

Bagaimanapun, seorang lagi pengurus besar yayasan tersebut dilaporkan berkata, kos sebenar majlis itu adalah RM285,000 bagi menampung penyediaan makanan untuk jemputan khas seramai 200 orang kenamaan dan 2,000 tetamu lain.

Difahamkan majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu telah dibatalkan.

Pada 14 November lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pegawai kanan tersebut telah diarahkan bercuti dengan gaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

Artikel Sebelum

Artikel Lain