suria

Mayat Wanita Reput Dijumpai Dalam Semak

IPOH: Mayat seorang wanita hampir reput dipercayai mangsa bunuh dijumpai di sebuah kawasan semak berhampiran bekas ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat itu ditemui oleh seorang pekerja memotong rumput yang melakukan kerja pembersihan di situ tengah hari tadi.

Mayat berkenaan tersorok dalam timbunan dahan kayu dan semak dengan kedua-dua kakinya terikat, katanya.

Zakaria berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian. Beliau berkata identiti wanita itu belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui telefon 05-2451500. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain