suria

Makmal Dadah Terbongkar Akibat Kebakaran

GEORGE TOWN: Kegiatan sebuah makmal memproses dadah jenis syabu dianggarkan bernilai jutaan ringgit terbongkar apabila sebuah rumah teres di Jalan Mata Kucing di Air Itam di sini terbakar pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, sindiket pemprosesan dadah itu hanya dikesan selepas pasukan Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang memadamkan api di bahagian dapur rumah itu, menjumpai pelbagai jenis dadah yang belum serta sudah diproses, selain pelbagai peralatan memproses dadah.

"Bomba kemudiannya menghubungi polis dan hasil pemeriksaan di rumah yang terbakar itu, polis turut menemui pelbagai warna cecair yang dipercayai bahan kimia untuk memproses dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis turut merampas sebuah kereta pacuan empat roda untuk siasatan bagi mengenal pasti pemiliknya, dan percaya anggota sindiket itu melarikan diri selepas mengetahui kegiatan mereka telah terbongkar.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya anggota sindiket itu telah bertengkar sesama mereka sebelum kebakaran tersebut berlaku pada 10.15 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain