suria

Lima Lagi Pejabat Imigresen Beroperasi Hujung Minggu

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri menambah lima lagi Pejabat Imigresen di Lembah Klang bagi mengatasi kesesakan luar biasa orang ramai di kaunter-kaunter jabatan itu mulai Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata lima pejabat baru itu akan dibuka di Putrajaya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Pelabuhan Klang, Kajang dan Wangsa Maju dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Pejabat itu akan beroperasi pada setiap hujung minggu sebagai tambahan kepada dua pejabat Imigresen yang mengadakan perkhidmatan pada hujung minggu, iaitu di Pusat Bandar Damansara dan Shah Alam, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Perkhidmatan-perkhidmatan yang akan diberikan adalah penerimaan permohonan serta pengeluaran pasport," katanya.

Beliau berharap dengan pembukaan operasi kaunter Imigresen pada hujung minggu ini akan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya semasa sesi cuti persekolahan ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain