suria

Kadet akademi Tentera Diraja Sandhurst Terima Elaun Masa Cuti

KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai kadet yang mengikuti kursus di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England, bakal menerima kenaikan elaun sara diri untuk tempoh semasa bercuti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kenaikan kadar elaun itu telah diluluskan oleh Kabinet pada awal September lepas ekoran elaun yang diterima mereka sebelum ini tidak mencukupi.

"Kita telah menambah elaun pegawai-pegawai kadet ini dan ia telah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri supaya perolehan elaun itu mencukupi terutamanya semasa mereka bercuti panjang di England," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Turus Am Tentera British, Jeneral Sir Peter Wall, di Kementerian Pertahanan di sini pada Isnin.

Kadar elaun yang bakal diterima pegawai kadet itu ialah 160 Pounds berbanding kadar yang sebelum ini iaitu 46.40 Pounds, setahun.

Beliau berkata kementeriannya juga akan meneruskan tradisi menghantar pegawai-pegawai kadet yang berpotensi menjalani latihan ketenteraan di akademi terbabit.

Katanya, dalam sesi pertemuan terbabit, Malaysia dan Britain juga berikrar akan meneruskan hubungan kerjasama bukan sahaja dalam misi pengaman tetapi juga dari segi latihan ketenteraan.

"Hubungan dua hala ini akan diteruskan termasuklah dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) untuk meneruskan latihan bersama. Melalui program integrasi dengan UK, kita juga akan meningkatkan penggunaan peralatan tanpa menggunakan bajet yang besar," kata Ahmad Zahid.

Menerusi FPDA, lima negara yang terlibat iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan UK perlu mengeluarkan bajet masing-masing untuk mengadakan latihan itu. Sementara itu, Wall menyifatkan kunjungan kali pertamanya ke Malaysia sangat memberangsangkan.

"Saya lihat masa depan cerah dalam aspek hubungan dua hala antara kedua-dua pasukan tentera, bukan hanya kerana kita adalah sebahagian daripada lima FPDA, tetapi kerana kita ada hubungan dua hala dalam aspek latihan, pemahaman, operasi, kelengkapan dan sebagainya," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain