suria

Bangunan Parlimen Bocor Lagi

KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen yang dibaik pulih selepas kejadian bocor di saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua pada 2008 sekali lagi mengalami kebocoran ekoran hujan lebat kira-kira hampir dua jam pada tengah hari Selasa.

Bagaimanapun kebocoran kali ini berlaku di kafeteria Ahli Parlimen bersebelahan bangunan utama Dewan Rakyat.

Hujan lebat kira-kira pukul 1.15 petang itu menyebabkan air mencurah-curah keluar dari bahagian syiling kafeteria berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira 20 minit selepas hujan lebat itu mengejutkan sekumpulan ahli Parlimen yang sedang menikmati makanan tengah hari pada waktu rehat persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ini merupakan kejadian keempat sejak kejadian bumbung bocor pada Mac 2008.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kejadian itu merupakan sesuatu di luar jangkaan walaupun proses baik pulih telah dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya proses membaik pulih bangunan yang dibina pada 1962 itu perlu dilakukan bagi memastikan jangka hayat bangunan Parlimen itu.

"Bangunan ini sudah tua, bila kita lakukan sesuatu seperti memasang pendingin hawa dan ganggu sistem asalnya, ia akan mengalami masalah... jadi kita akan baik pulih bangunan ini," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan memindahkan bangunan Parlimen ini, Mohamed Nazri berkata: "Tidak, kita akan tetap berada di sini, kita tak akan pindah.

"Kita akan tetap berada di sini, tapi pada masa yang sama akan mendapatkan pandangan daripada pihak berwajib untuk mencari bangunan sementara... tapi Kabinet belum buat apa-apa keputusan lagi."

Sebelum ini Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerja pembaikan dijalankan ke atas bangunan sekarang dengan kos RM100 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain