suria

Peranan Majlis Teknologi Maklumat Negara Ditingkat: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peranan Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) akan diperkukuh dan ditingkatkan sebagai badan pemikir tertinggi yang akan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini.

Najib, yang juga Pengerusi NITC berkata, langkah itu bagi memastikan agenda ICT negara dapat dipacu serta memudahkan pertumbuhan sektor ICT ke arah mencapai matlamat Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dan mentransformasi negara kepada ekonomi digital yang inovatif.

"Untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memberi input berhubung hala tuju dan dasar strategik kepada kerajaan, kumpulan-kumpulan kerja akan ditubuhkan bagi sembilan bidang teras dan dianggotai oleh pakar-pakar daripada sektor awam, swasta dan komuniti," katanya dalam ucapan pembukaan mesyuarat NITC di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Najib berkata, bidang-bidang teras itu akan dibahagikan kepada empat kategori, iaitu ICT sebagai industri, ICT sebagai pemboleh, ICT untuk masyarakat dan Faktor Kejayaan Kritikal ICT.

Katanya berdasarkan perkembangan industri ICT masa kini, kerajaan menyasarkan agar Malaysia menjadi hab cergas bagi pengwujudan penyelesaian teknologi informasi dan komunikasi (ICT) untuk eksport.

Beliau berkata, peralihan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke Fasa Tiga dari 2011 hingga 2020 adalah tepat pada masanya untuk mentransformasikan Malaysia kepada masyarakat berasaskan pengetahuan dan sekaligus membantu dalam pencapaian Program Transformasi Ekonomi.

"Oleh yang demikian, adalah perlu agar ICT digunakan secara meluas dan sepenuhnya di semua industri, sektor kerajaan dan masyarakat serta infrastruktur dan suasana perniagaan yang mesra ICT diwujudkan," katanya.

Najib berkata dalam usaha kerajaan untuk mentransformasi ekonomi negara dan menambahbaik kesejahteraan masyarakat melalui Program Trasformasi Ekonomi, ICT merupakan pemangkin dalam lima daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik dan digunakan dalam semua NKEA.

Adalah didapati juga 25 daripada 50 inisiatif di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan bergantung kepada ICT, manakala daripada 131 Projek Permulaan (EPP) yang dikenal pasti di bawah Program Transformasi Ekonomi, 28 merupakan EPP berintensif ICT. - BERNAMA

Artikel Lain