suria

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Nota Klinikal Mohd Saiful

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akses pada nota klinikal yang diambil oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika membuat pemeriksaan terhadap pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar untuk satu perintah bagi memaksa pihak pendakwaan membekalkan nota klinikal yang diambil oleh tiga pakar HKL itu semasa memeriksa Mohd Saiful Bukhari selama tiga jam di hospital tersebut pada malam 28 Jun, 2008.

Pihak pembelaan memohon untuk nota itu selepas pakar bedah am Dr Mohd Razali Ibrahim merujuk kepada mereka semasa testimoni beliau, di mana pihak pembelaan memikirkan bahawa nota itu jika dikeluarkan berkemungkinan bercanggah dengan keterangan lisan Dr Mohd Razali.

Dr Mohd Razali adalah saksi pendakwaan kedua pada perbicaraan Anwar, yang didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.

Dalam penghakiman beliau, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal memenuhi keperluan perundangan yang diperlukan untuk mahkamah berkenaan memerintahkan pihak pendakwaan membekalkannya dengan nota doktor itu.

Katanya beliau berpandangan bahawa nota itu untuk tujuan sokongan atau mengingatkan kembali ingatan saksi dan ia adalah bagi pendakwaan untuk memutuskan sama ada mereka mahu menggunakannya atau tidak.

Beliau berkata tidak ada sesiapa pun, termasuk mahkamah boleh mendesak pihak pendakwaan untuk menggunakan nota itu untuk menyokong testimoni lisan Dr Mohd Razali, jika pendakwaan tidak mahu berbbuat demikian.

"Jika pendakwaan memilih tidak menggunakannya, bukan pembelaan dan mahkamah boleh memaksa mereka (pendakwaan) untuk berbuat demikian atau untuk membekalkannya kepada pembelaan," kata beliau.

Hakim Mohamad Zabidin juga menolak permohonan Anwar untuk menghapuskan laporan penuh perubatan bertarikh 13 Julai, 2008, yang disertakan dengan nombor makmal laporan kimia.

Pihak pembelaan mahu menghapuskan laporan penuh itu atas alasan nombor makmal laporan tosikologi Mohd Saiful Bukhari tidak dinyatakan dalam laporan penuh tersebut. Juga, laporan tosikologi belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Mohamad Zabidin dalam keputusannya berkata laporan tosikologi kini distapel bersama dengan laporan kimia dan ia tidak pernah ditanda sebagai barang bukti.

Beliau berkata pendirian pihak pendakwaan adalah mereka tidak pernah bercadang untuk mengemukakannya sebagai barang bukti dan sebab itulah ia tidak pernah diserahkan kepada pihak pembelaan. - BERNAMA

Artikel Lain