suria

Bicara Kes Kematian AminulRasyid Tangguh Esok

SHAH ALAM:Perbicaraan terhadap seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah akan bersambung pada Selasa.

Tarikh itu ditetapkan pada Isnin, ekoran peguam, M.Athimulan yang mewakili tertuduh, Koperal Jenain Subi perlu menghadiri perbicaraan di Pulau Pinang.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Salim Bashir yang turut mewakili pihak pembelaan kepada Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Latifah Mohd Tohar.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya R.Kalaiyarasi menyebut bagi pihak Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani, Adillah Ahmad dan Siti Rohaida Che Hamid.

Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, dalam kejadian tembakan ke arah kereta yang dipandu oleh remaja terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, seramai 25 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan termasuk ahli keluarga, doktor, anggota polis dan juga ahli kimia.

Artikel Lain