suria

PKR terus Terima Tekanan, 500 Anggota Desak Pemilihan MPP Dihentikan

PETALING JAYA: Tekanan ke atas pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlarutan apabila sekumpulan kira-kira 500 penyokong terus mendesak supaya parti itu menghentikan serta-merta pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berakhir, Ahad.

Kumpulan penyokong itu, yang menaiki 14 bas dari Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Perak, turut mendesak pimpinan tertinggi termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail meletak jawatan kerana 'gagal mentadbir parti'.

Perhimpunan secara aman itu, yang bermula 4.30 petang dan berakhir sejam kemudian, diketuai bekas timbalan setiausaha agung PKR S.Jenapala Perumal dengan kebanyakan mereka membawa kain rentang yang rata-rata mendesak Anwar meletak jawatan.

Ketika perhimpunan diadakan, tidak ada wakil atau pemimpin PKR yang tampil meredakan keadaan dan pintu masuk ke ibu pejabat parti itu dikunci.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh yang juga Anggota Parlimen Kuantan, dan Pengarah Strategi PKR yang juga Anggota Parlimen Batu, Tian Chua muncul untuk menenangkan keadaan ketika perhimpunan hampir bersurai.

Tian Chua sempat bercakap dengan Ketua Komuniti India Selayang yang juga calon timbalan ketua cabang Selayang B.Rajandran bahawa pihaknya akan cuba menyelesaikan segala masalah yang berbangkit mengikut saluran parti.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Rajandran berkata beliau tidak berpuas hati kerana pucuk pimpinan tidak serius dalam menangani masalah yang dibangkitkan akar umbi.

Jenapala pula sekali lagi mendesak supaya pemilihan parti 'diadakan semula dengan bersih'.

Hari ini adalah hari terakhir pemilihan MPP dengan baki 37 cabang lagi di Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah mengadakan pemilihan.

Sementara itu, pemilihan MPP PKR bagi cabang Kuala Langat di Dewan Rakan Muda di Kuala Langat hari ini dibatalkan.

Walaupun berlaku pembatalan, masih ada insiden yang tidak diingini berlaku sehingga ada anggota parti yang tercedera dan membuat laporan polis.

Laporan polis itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Nordin Manan ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan pemilihan tersebut sepatutnya berlangsung pada 13 Nov lalu dan ditunda ke 20 Nov dan kemudiannya ke hari ini. Juga difahamkan tempat pemilihan 'bercelaru dan mengelirukan'.

Kain rentang yang dipasang menyatakan pemilihan itu diadakan di Dewan Wawasan Kampung Medan tetapi ia telah berlangsung di Dewan Rakan Muda. Menurut Ketua Pengawas MPP PKR, Cabang Kuala Langat, Zainol Ahmad, pemilihan itu terpaksa dihentikan akibat ada pihak tidak berpuas hati terhadap proses pengundian.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima arahan lebih kurang pukul 1.30 petang untuk membatal dan menutup proses pemilihan.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati pemilihan MPP PKR bagi cabang Tanjong Karang dan Kuala Selangor berjalan lancar. Lebih 300 anggota dari kedua-dua cabang hadir untuk mengundi calon.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain