suria

Pemuda Lemas Ketika Selamatkan Rakan

BESUT: Niat baik seorang pemuda untuk menyelamatkan rakannya yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila dia terjatuh ke dalam lubuk sebelum lemas di kawasan air terjun Lata Tembakah, Hulu Besut kira-kira 15 kilometer dari sini tengah hari Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Ahmad Mustapha, 18 dari Kampung Kulim Hilir, Pasir Puteh, Kelantan sebelum itu dilaporkan datang ke kawasan rekreasi bersama 13 lagi rakannya dengan menaiki motosikal untuk berkelah di kawasan air terjun itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata tiga daripada mereka terus mandi, sementara yang lain duduk berehat sambil makan.

"Seorang daripada mereka yang sedang mandi tiba-tiba hampir lemas menyebabkan Ahmad yang berada di kawasan berhampiran terjun bagi menyelamat rakannya itu.

"Bagaimanapun Ahmad terus hilang di dalam air, manakala rakannya yang hampir lemas itu diselamatkan oleh seorang lagi rakan mereka Mohd Zulhi Awang, 22," katanya.

Setelah gagal mengesan mangsa, mereka menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Besut bagi mendapatkan bantuan dan mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira pukul 3.45 petang, tiga meter daripada lokasi mangsa dilihat terjun ke dalam air.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk pengebumian.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain