suria

Kecoh Perkara Biasa - Saifuddin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap kekecohan yang berlaku semasa proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Kuala Kubu Bharu dekat sini pada Sabtu sebagai perkara biasa ekoran perasaan tidak puas hati segelintir pihak yang tewas pada pemilihan peringkat cabang.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun kekecohan itu tidak menghalang proses pengundian yang berjalan lancar selepas itu.

“Biasalah bila ada yang tidak puas hati maka mereka timbulkan kekecohan. Tetapi apa yang dilihat semuanya baik sahaja kerana masih ada yang datang mengundi.

“Tiada yang kecoh sangat kerana keadaan pengundi semalam baik-baik sahaja, tak ada masalah selepas proses undian ditutup pada pukul 7 petang,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Dalam kekecohan tersebut, kira-kira 100 ahli parti itu berkumpul sejak pukul 9 pagi bertujuan menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi daripada memasuki perkarangan Dewan Merdeka, lokasi pengundian pemilihan diadakan.

Tindakan itu dilihat sebagai bantahan berikutan pemilihan peringkat cabang itu yang dibatalkan sebelum ini tidak dibuat serentak dengan pengundian MPP.

Timbul rasa tidak puas hati berhubung perkara itu telah menyebabkan insiden tolak-menolak dan pertikaman lidah antara kumpulan yang diketuai dua calon jawatan ketua cabang, S.M Poobalan dan Zahar Rusuli dengan beberapa wakil Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang menguruskan pengundian tersebut.

Sementara itu, Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah pula berkata, kejadian itu semenangnya disebabkan tiada puas hati bila ada pihak 'terpaksa' menerima kekalahan.

Menurut beliau, perkara berhubung insiden itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin PKR sekiranya mendapat bukti lengkap mengenainya.

“Bagaimanapun, saya masih menunggu laporan itu daripada pengawas sebelum membuat apa-apa tindakan susulan.

“Sebarang tindakan bergantung kepada JPP dan Jawatankuasa Disiplin PKR. Belum dapat diputuskan buat masa ini,” katanya.

Pemilihan PKR pada Sabtu melibatkan 15 cabang iaitu masing-masing enam di Selangor dan Sarawak serta tiga lagi di Johor.

Hari ini merupakan hari terakhir pengundian melibatkan 37 cabang iaitu Sarawak (16), Johor (13), Selangor (7) dan Sabah (1).

Artikel Sebelum

Artikel Lain