KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon kerajaan supaya melanjutkan tempoh perpindahan penghuni kuarters kerajaan kawasan Cochrane di sini ke kuarters di Putrajaya ke tahun depan, Ahad.Presidennya Omar Osman berkata 314 kakitangan kerajaan dari pelbagai jawatan yang berkhidmat di sekitar ibu negara diberi tempoh hingga 15 Dis ini untuk berpindah ke Putrajaya. Beliau berkata Cuepacs sudah menghantar memorandum kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan pada 15 Okt lepas tetapi masih belum menerima maklum balas daripadanya. "Kita memohon diadakan rundingan bagi mencari penyelesaian...tempoh (perpindahan) yang ditetapkan (pada 15 Dis ini) tidak mencukupi bagi persiapan perpindahan."Jika pihak kerajaan masih mahukan mereka berpindah, mereka berharap kemudahan lori dan bayaran pampasan RM3,000 hingga RM5,000 satu keluarga diberikan bagi memudahkan urusan perpindahan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penghuni kuarters berkenaan hari ini. Omar mendakwa penghuni kuarters itu masih tidak jelas tujuan mereka diarahkan berpindah ke Putrajaya, sebaliknya hanya mendengar desas-desus mengatakan di kawasan tersebut akan dibina kuarters milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).-BERNAMA