suria

Jangan Sertai ATM Kerana Tiada Pilihan Atau Terpaksa

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat memerlukan generasi muda yang berminat menyertai pasukan itu, bagi memastikan kesinambungan keselamatan negara terus terjamin, dan bukan disebabkan faktor tiada pilihan kerjaya yang lain.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata situasi negara yang aman menyebabkan masyarakat memandang ringan usaha menjaga kedaulatan negara.

"Melihatkan keadaan negara yang aman, mereka seolah-olah meminggirkan aspek keselamatan dan tidak mahu menyertai kita. Perlu diingat, keselamatan negara bukan terletak pada bahu anggota tentera semata-mata tetapi juga semua orang.

"Oleh itu, ATM mahu golongan muda yang punya minat dan semangat sukarela menyertai tentera dan bukannya disebabkan tiada pilihan lain atau terpaksa," katanya kepada pemberita di MyCareer Fair 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Selain itu, katanya, pendapatan juga merupakan faktor penyebab mengapa golongan muda kurang berminat untuk menjadi sebahagian daripada sayap pasukan pertahanan itu.

"Kita tidak menolak kemungkinan pendapatan yang ditawarkan dirasakan tidak berbaloi berbanding kerjaya lain dan ini menyebabkan mereka tidak mahu menjadi anggota tentera," katanya.

Abdul Aziz berkata statistik pengambilan perajurit ATM pada 2009 menunjukkan kaum Melayu mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 91.55 peratus berbanding kaum Cina iaitu 0.1 peratus diikuti India sebanyak 1.01 peratus dan lain-lain kaum sebanyak 7.35.

Katanya, dakwaan bahawa ATM untuk kaum Melayu sahaja juga adalah tidak berasas sama sekali.

"Siapa cakap ATM untuk orang Melayu sahaja. Hanya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sahaja yang dikhususkan untuk orang Melayu, selain daripada itu ia adalah terbuka (untuk semua).

"Kita masih ada pelbagai cabang lagi. Tentera Laut (TLDM) dan udara (TUDM), ia dibuka untuk semua bangsa dan kita tidak memberi layanan istimewa untuk satu-satu bangsa itu.

Beliau berkata ATM membuka pengambilan 4,000 pegawai dan anggota sahaja bagi setiap tahun dan jumlah itu adalah mencukupi mengikut keperluan masa kini.

Abdul Aziz berkata ATM juga merupakan bidang kerjaya yang unik kerana pasukan itu sentiasa menjaga kebajikan anggota bermula ketika mereka memulakan perkhidmatan sehinggalah berakhirnya hayat anggota tentera terbabit.

"ATM menyediakan latihan peralihan kepada warganya sebelum mereka menamatkan perkhidmatan masing-masing yang bertujuan membekalkan mereka dengan kepakaran baru dan meningkatkan kepakaran yang sedia ada bagi mereka meneroka kerjaya baru selepas bersara.

"Selain itu, melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran, kebajikan veteran ATM turut dijaga dan faedah ini adalah satu bonus kepada mereka yang bergelar anggota tentera," katanya.

ATM membuka lima gerai pada pameran MyCareer Fair yang berlangsung sehingga esok meliputi pameran oleh Tentera Darat, TUDM dan TLDM selain daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Pameran itu mengenai kepelbagaian kerjaya serta penglibatan ATM dalam misi Pertubuhan Bangsa Bersatu. BERNAMA

Artikel Lain