suria

Jab. Imigresen Akan Perkenalkan Sistem Pagar Automatik Untuk Warga Asing

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia merancang untuk mewujudkan sistem laluan pagar automatik (autogate) bagi urusan keluar masuk warga asing di pintu masuk utama negara selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan, demikian menurut Ketua Pengarahnya yang baru, Datuk Alias Ahmad.

Kata beliau, pada masa ini kemudahan itu hanya dilaksanakan bagi urusan keluar masuk pemegang pasport rakyat tempatan sahaja.

“Dengan memperkenalkan sistem pagar automatik untuk warga asing, kita akan dapat mempertingkatkan kecekapan operasi di pintu masuk-keluar utama negara seperti di KLIA dan lain-lain lapangan terbang antarabangsa.

“Ini juga akan dapat memperkukuhkan integriti pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter sekali gus daripada sebarang anasir negatif seperti rasuah, bersubahat dengan anasir luar sekali gus menjamin keselamatan negara,” katanya.

Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan akhbar berbahasa Malaysia The Star, Mingguan mStar, Alias menambah, sistem yang bakal diperkenalkan itu akan dapat mengenal pasti sekiranya terdapat warga asing yang menggunakan visa palsu atau pasport milik orang lain.

Katanya, hanya pelawat asing yang tulen akan dapat melepasi laluan pagar automatik itu menerusi pintu masuk utama seperti KLIA.

“Sistem ini akan dapat mengesan pasport versi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang kini diguna pakai di lebih 60 buah negara.

Mengenai kaedah pengesanan pasport palsu atau penggunaan pasport orang lain, Alias berkata, setiap visa yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen akan disertakan dengan nombor siri yang berkod yang mampu dibaca oleh sistem laluan berpagar automatik ini.

Katanya, jika visa itu visa palsu dan tidak dapat dibaca oleh sistem laluan pagar automatik, pagar tersebut tidak akan terbuka.

“Dan pegawai Imigresen yang bertindak sebagai penyelia di pintu pagar berkenaan akan melakukan pemeriksaan terhadap pelawat asing tersebut kerana status kemasukannya yang mencurigakan,” katanya lagi.

Berdasarkan statistik Unit Penguatkuasaan Imigresen, jumlah tangkapan bagi Akta Pasport 1966 melibatkan warga asing adalah 267 kes bagi tempoh antara Januari hingga Oktober tahun ini manakala seramai 22 orang yang membolosi pintu masuk bagi tempoh sama dan mereka ini dikesan apabila ditangkap dalam operasi bersepadu dengan pihak berkuasa yang lain.

Alias berkata, Jabatan Imigresen juga akan bekerjasama dengan penyedia khidmat penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, HeiTech Padu Berhad untuk membina sistem keselamatan baru ini.

Menerusi kerjasama itu, katanya, HeiTech akan membangunkan sistem berkenaan yang kini melalui peringkat penyediaan aplikasi dan kelengkapan.

Dalam pada itu, Alias berkata, pihaknya telah pun mengadakan kerjasama dengan beberapa Jabatan Imigresen di luar negara bagi perkongsian maklumat dan kepakaran.

“Kami bekerjasama dengan Australia dan Netherland. Kami juga akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan United Kingdom selepas ini.

“Ketika ini, kami masih dalam proses menyediakan rangka kerja bagi memorandum persefahaman dengan kedua-dua negara itu,” katanya.

(Untuk laporan lanjut berkaitan Jabatan Imigresen ikuti temuramah eksklusif kami dengan Ketua Pengarah Imigresen yang baru dalam Mingguan Mstar Ahad ini. Dapatkan naskhah anda bersama akhbar The Sunday Star)

Artikel Lain