suria

Galas: Tengku Razaleigh Beri Jaminan Tunai Janji Kepada Orang Asli

GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberi jaminan akan menunaikan segala janji untuk membela nasib kaum Orang Asli yang banyak membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November lepas.

Tengku Razaleigh berkata kaum itu yang setia dengan perjuangan Umno telah memberikan sokongan padu bagi membolehkan BN menebus semula maruah selepas kekalahan kerusi DUN Galas pada pilihan raya umum lalu.

"Saya fikir sekiranya tidak kerana sokongan padu daripada kaum itu sudah tentu kita daripada BN amat sukar memperoleh kemenangan dengan majoriti besar.

"Oleh itu, saya tidak akan mungkir janji semasa pilihan raya kecil lepas dan tetap melaksanakan apa yang saya kata (pada kempen pilihan raya itu)," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Aidiladha sempena meraikan kemenangan B Nbagi kerusi DUN Galas pilihan raya kecil di Bukit Chekati, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu anakanda Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Fakhry Petra; ADUN Galas Abdul Aziz Yusoff; ADUN Paloh Datuk Nozula Mat Diah dan ADUN Nenggiri Md Yusoff Ab Ghani serta wakil-wakil kaum Orang Asli dan pemimpin parti komponen BN. Tengku Razaleigh berkata beliau bersedia berbincang dengan ketua-ketua kaum Orang Asli mengenai perkara yang dijanjikan dalam masa terdekat ini kerana ia penting bagi kemajuan masa depan mereka.

Ia turut membabitkan hal berkaitan dengan kerajaan negeri terutama mengenai tanah kerana kaum itu wajar diberi keutamaan dalam penyelesaian berkenaan, katanya.

"Kita begitu kagum dengan sokongan 90 peratus Orang Asli pada pilihan raya kecil berkenaan di samping kaum lain terutama Melayu, Cina dan India juga. Saya menghormati segala usaha hingga mencapai kemenangan," kata Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang. Katanya BN Gua Musang kini perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Langkah itu bukan bertujuan untuk kita membanggakan diri atau riak diatas kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil berkenaan (Galas), sebaliknya untuk faedah rakyat di Gua Musang juga," katanya.

Pada pilihan raya kecil Galas, Abdul Aziz menang dengan majoriti 1,190 undi setelah mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperoleh 4,134 undi. Tengku Razaleigh merupakan pengarah pilihan raya kecil BN/Umno pada pilihan raya kecil berkenaan.- BERNAMA

Artikel Lain