suria

Denggi: 123 Kematian Sejak Januari

TEMERLOH: Sebanyak 123 kematian akibat denggi dilaporkan sejak Januari tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sehingga semalam, sebanyak 42,749 kes denggi dilaporkan di seluruh negara membabitkan 123 kematian.

"Jumlah kematian meningkat berbanding tahun lepas. Sepanjang tahun lepas sebanyak 36,294 kes dilaporkan membabitkan 77 kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Juara Rakyat Karnival Kesihatan dan Keselamatan anjuran Umno Bahagian Temerloh di sini, Sabtu.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri tertinggi kes denggi iaitu sebanyak 15,323 kes.

"Jumlah kematian akibat denggi di Selangor sahaja ialah sebanyak 43 orang (sehingga semalam)," katanya.

Rosnah berkata bagi negeri Pahang, sebanyak 1,397 kes dilaporkan sejak Januari hingga semalam dengan empat kematian dicatatkan.

"Kementerian Kesihatan memandang serius kes denggi dimana usaha mengadakan pembersihan kawasan rumah, taman perumahan dan persekitaran menerusi bergotong royong perlu dipertingkatkan.

"Denggi perlu diberikan perhatian serius, tindakan pro-aktif semua lapisan masyarakat penting dalam menangani isu ini,"katanya.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin. BERNAMA

Artikel Lain