suria

Jalan Di Bangsar Akan Dinaik Taraf - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaik taraf jalan di sekitar Bangsar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kawasan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan dilaksanakan ialah menambah lorong dari Jalan Maarof ke Jalan Bangsar, meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam dan menyediakan tempat letak kereta lebih strategik pada masa akan datang.

"Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan membuat kajian menyeluruh mengenai pembangunan yang bakal dijalankan agar tidak memberi kesulitan kepada kira-kira 20,000 penduduk sekitar Bangsar, yang menghadapi masalah itu selama 15 tahun," katanya kepada pemberita selepas berjumpa wakil penduduk di kawasan itu, Jumaat.

Raja Nong Chik berkata, kajian yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu itu, mengambil kira setiap pembangunan yang diluluskan agar tidak mengubah persekitaran penduduk, selain membantu menyelesaikan sebahagian besar masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan bertemu pihak Petronas dan meminta mereka menyediakan jadual khas untuk pemandu teksi mengisi gas asli kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu tertentu di sekitar Bangsar.

Mengenai kos yang akan diperuntukkan, Raja Nong Chik berkata ia bergantung kepada kemampuan kerajaan selepas menaik taraf kawasan Brickfields.

Ditanya mengenai pelan pembangunan semula Kampung Baru, beliau berkata Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat bulan depan.

Mengulas pergolakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyaksikan bekas pengerusi Wilayah Persekutuan parti itu, Datuk Zaid Ibrahim bertindak keluar parti, Raja Nong Chik berkata, keadaan itu mencerahkan peluang Barisan Nasional untuk merampas kembali negeri yang ditawan pembangkang, terutama Selangor.

"Apa yang lebih penting, ahli politik perlu bekerja kuat dan menunaikan janji-janji yang dibuat...usaha dan dengar rintihan rakyat," katanya.

Ketika disoal sama ada beliau berhasrat bertanding pada pilihan raya umum ke-13, Raja Nong Chik berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti.

"Itu bukan hak saya (bertanding atau tidak)," katanya mengulas desas-desus bahawa beliau akan bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi Nurul Izzah Anwar dari PKR pada pilihan raya umum ke-12. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain