suria

Ibadat Korban Boleh Dilaksana Sehingga Esok - Jakim

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini boleh melaksanakan ibadah korban sehingga esok (Sabtu), kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk melaksanakan ibadah itu selepas solat sunat Aidiladha Rabu lepas iaitu 10 Zulhijjah sehingga hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah atau 18, 19 dan 20 Nov.

"Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431 Hijrah di 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia pada 6 November lepas, ahli falak mendapati anak bulan tidak kelihatan di kesemua tempat dan sekaligus menetapkan Hari Raya Korban pada tahun ini disambut pada 17 November," katanya.

Hasil data cerapan itu diperoleh setelah ahli Falak mendapati kedudukan hilal (anak bulan) tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan), katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sehubungan itu beliau berkata, Khamis, Jumaat dan Sabtu merupakan Hari Tasyrik bagi seluruh umat Islam pada tahun ini yang membolehkan mereka menunaikan ibadah korban.

"Hal ini sekaligus menafikan pandangan dan kekeliruan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa ibadah korban hanya boleh dilakukan sehingga hari ini sebagaimana menurut Arab Saudi," katanya.

Wan Mohamad juga berkata, asas penentuan Hari Raya Korban di Malaysia juga adalah selaras dengan Singapura dan Indonesia.

Sebelum ini Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa tarikh Hari Raya Korban pada tahun ini menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini kerana ia berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain