suria

Dua Warga Aceh Edar 20Kg Ganja Dihukum Gantung

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menjatuhkan hukuman gantung ke atas dua warga Aceh, Indonesia selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram ganja.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bawa pembelaan Ismail Ibrahim, 36, dan Azhar Zakaria, 37, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menilai keterangan yang diberikan oleh sembilan saksi pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh memilih untuk membela diri menerusi keterangan bersumpah.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai didakwa mengedar 20,052 gram ganja di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Gombak, dekat sini pada pukul 1.30 petang, 21 Mei 2002.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperutukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong manakala peguam Surjan Singh hadir bagi pihak pembelaan.

Kedua-dua tertuduh ditangkap selepas kereta yang dipandu oleh Azhar dipintas oleh dua kenderaan polis dan dadah tersbut yang disembunyikan di dalam kotak ditemui di bahagian tempat letak barang kereta.

Pada pembelaan mereka, kedua-dua tertuduh mendakwa diarahkan oleh seorang pemilik kedai di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘Ismail’ untuk menghantar dua kotak berisi ‘air minuman’ ke sebuah tempat di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, Mohd Zaki dalam penghakiman ringkasnya berpendapat, pembelaan tertuduh itu hanya bersifat penafian semata-mata dan gagal untuk menyangkal keterangan pihak pendakwaan.

Beliau juga menolak hujahan peguam tertuduh yang membangkitkan persoalan berhubung ketiadaan rakaman video dalam kejadian tersebut.

“Saya belum pernah melihat kes di mana pihak pendakwaan membawa rakaman video yang dilakukan oleh pihak polis dalam sesuatu operasi,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain