suria

TERKINI: K'jaan S'gor Arah Semua Anak Syarikat Dapatkan Kelulusan MBI Sebelum Anjur Aktiviti

SHAH ALAM: Selepas kontroversi yang melanda Yayasan Selangor menjadi isu percakapan ramai, Kerajaan Negeri Selangor, Khamis, mengarahkan semua anak syarikatnya supaya mendapatkan kelulusan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI)terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang aktiviti, termasuk sambutan perayaan ataupun ulang tahun.

Dalam perkembangan yang sama, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dilaporkan mencecah lebih RM500,000.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mulai sekarang semua agensi dan anak syarikat negeri mestilah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan belanjawan bagi semua penganjuran majlis termasuklah senarai jemputan dan aturcara.

"Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau penganjuran aktiviti oleh anak-anak syarikat dan seterusnya mengawal perbelanjaan agar ia munasabah dengan majlis bagi mengelak pembaziran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keputusan itu dipercayai dibuat ekoran kontroversi perbelanjaan yang melanda anak syarikat kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor baru-baru ini.

Yayasan itu kini disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 untuk majlis ulang tahunnya yang ke-40 yang menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat untuk berangkat ke majlis itu apabila dikatakan dukacita kerana kos penganjurannya amat tinggi.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan negeri tidak menggalakkan anak-anak syarikat menggunakan khidmat syarikat pengurusan acara bagi menguruskan majlis anjuran, sebaliknya menggunakan tenaga kerja dan kepakaran kakitangan yang sedia ada bagi mengeratkan hubungan antara pihak atasan dan kakitangan bawahan.

"Kerajaan negeri berpendapat cara ini sudah tentu akan menjimatkan lagi perbelanjaan dan wang yang dijimatkan ini nanti dapat disalurkan ke tempat atau kepada individu yang layak sejajar dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor," katanya. BERNAMA

Artikel Lain