suria

PM Mahu Projek MRT Dilaksana Julai Tahun Depan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu projek Transit Aliran Massa (MRT) di bawah Greater KL dilaksanakan menjelang Julai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata laporan teknikal mengenai projek itu, termasuk laluannya, telah selesai dan akan dibentangkan kepada Majlis Ekonomi Negara serta Kabinet untuk diteliti dan dimuktamadkan pada bulan ini.

"Orang ramai akan berpeluang memberi maklum balas selepas Majlis Ekonomi membuat keputusan mengenai laporan teknikal ini," katanya pada sidang akhbar mengenai Greater KL di sini Khamis.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Idris berkata satu lagi projek iaitu rel berkelajuan tinggi akan memasuki fasa kajian awal selama dua bulan, bermula awal tahun depan dan selepas selesai, ia akan disusuli dengan kajian mendalam selama enam bulan.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata pembinaan MRT akan melibatkan penggunaan tanah kerajaan persekutuan bagi mengelak soal pengambilalihan tanah.

Soal pengambilan tanah sedang dikaji oleh perunding utama. Taburan stesen-stesen MRT juga belum dikenal pasti secara muktamad, katanya.

Beliau berkata salah satu lokasi yang akan dihubungkan dengan MRT ialah kawasan Kampung Baru yang merupakan salah satu fokus dalam Greater KL dan sistem MRT yang bakal dibina itu akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan sedia ada yang lain.

Katanya rancangan Greater KL turut merangkumi langkah "menghidupkan" semula sungai-sungai di Lembah Klang yang tercemar serta usaha menghijaukan Kuala Lumpur dengan menanam 30,000 pokok pada tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain