suria

PKR Tak Akan Berjaya Melakukan Perubahan Selagi Amal Politik Naungan - Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas anggota PKR, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, bagaimana parti itu hendak berkata lawan mereka, Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak demokratik sedangkan mereka (PKR) sendiri mengamalkan konsep politik naungan.

Malah katanya, agenda reformasi PKR akan menjurus ke arah kehancuran jika ia terus mengamalkan politik naungan sepertimana ia menuduh BN melakukannya.

"Jika kita kata BN tidak demokratik...maka parti kita mestilah menunjukkan sebaliknya tetapi jika kita mengamalkan politik naungan dalam usaha kita untuk terus berpegang kepada kuasa jadi di manakah perbezaan antara kita dengan BN? Bagaimanakah kita akan mendapat sokongan rakyat," ujarnya dalam program temubual Astro Awani pada Khamis.

Menurut Zaid lagi, PKR jangan harap akan dapat menumbangkan BN jika mereka juga mengamalkan pendekatan politik yang serupa.

Zaid menegaskan, inilah sebab mengapa beliau membangkitkan akan kepentingan proses pendemokrasian itu sendiri daripada keputusan hasil daripada proses tersebut sepanjang tempoh pemilihan pucuk pimpinan parti itu berlangsung sekarang.

Katanya, jika PKR mahu mengadakan pemilihan dan mereka menggunakan cara yang telah ditolak oleh rakyat pada tahun 2008, beliau tidak nampak bagaimanakah parti itu mampu melakukan perubahan.

Zaid menambah, seorang ahli politik yang efektif ialah sejauh mana dia mampu membawa perubahan, sejauh mana dia mampu menjadi katalis dalam konteks ketelusan, dalam konteks pentadbiran dan juga dalam konteks demokrasi.

"Orang khuatir kepada perubahan kerana ia adalah sesuatu yang baru... kita berasa selesa dengan apa yang telah ada jadi memang sukar untuk membuat perubahan. Tetapi bagi saya, pertumbuhan negara kita memerlukan kepada perubahan jadi jika saya dapat menyumbang sedikit kepada perubahan ini maka saya sudah boleh dianggap sebagai berjaya," ujarnya.

Apabila Zaid menyertai Keadilan lebih kurang 18 bulan yang lalu, dia telah dilihat sebagai salah seorang penganti Anwar Ibrahim malah dilihat sebagai seorang yang mampu menyatukan Pakatan Rakyat (PR) yang menganuti pelbagai ideologi politik sebagai satu unit yang kukuh dan bersatu.

Dan sebaik sahaja menyertai PKR, beliau langsung dilantik menganggotai Biro Politik parti itu dan kemudian dilantik sebagai kordinator PR dan menjadi katalis kepada Konvensyen PR yang pertama hujung tahun lalu dan juga penggerak utama kepada pendaftaran PR sebagai sebuah entiti politik yang sah dan berdaftar.

Bagaimanapun Zaid mula mencetuskan kontroversi apabila beliau mengambil keputusan untuk memohon cuti rehat daripada semua mesyuarat yang melibatkan Biro Politik pada awal tahun ini apabila hasratnya untuk menghadiri satu program di Sabah disekat oleh Anwar.

Sejak itu segala-galanya tidak kena untuk Zaid di dalam PKR termasuklah tewas sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Artikel Lain